Jawapan disediakan Oleh Dr Suhaimi Isa, Pakar Runding Perbidanan & Sakit Puan Hospital Pantai Ampang.
SAYA sedang hamil anak ketiga dan setiap kali hamil, saya akan berdepan masalah buasir. Baru-baru ini, saya dapati daging yang mengelilingi saluran faraj seakan tersembul keluar.
Ia tidak sakit tetapi saya bimbang. Adakah ia disebabkan tekanan buasir dan bayi yang semakin membesar ? Adakah ia kekal atau akan kembali normal selepas bersalin?
Mahani
MEMANG kerap saya dapati wanita yang mengandung mengalami masalah buasir. Buasir mempunyai pelbagai masalah seperti rasa tidak selesa jika ia keluar melalui dubur sehingga sakit dan berdarah jika buasir ini tersumbat dan luka selepas membuang air besar.
Buasir boleh luka bila najis terlalu keras. Tambahan ketika mengandung disebabkan kulit dubur menjadi kendur kerana hormon, tekanan dari bayi pada dubur dan masalah sukar membuang air besar menyebabkan buasir terkeluar, tersumbat dan berdarah. Kami kebiasaannya memberi ubat seperti Dafilon, ubat memudahkan buang air besar dan ubat supositori untuk dimasukkan ke dalam dubur.
Buasir terjadi apabila saluran darah vena membengkak dan timbul serta bengkak-bengkok atau tortuous. Ini menyebabkan saluran ini mudah tersumbat kerana pembekuan darah.
Kejadian ini bukan saja berlaku di dubur tetapi ia boleh berlaku di kaki dan bibir faraj seperti puan alami. Pada kaki, ia timbul pada permukaan betis dan selalunya puan mengalami kesakitan semasa berjalan.
Jika ia timbul di bibir faraj, bibir faraj akan membengkak dan puan berasa tidak selesa apabila terkena seluar dalam. Perdarahan jarang berlaku di tempat sebegini. Jika puan lihat dalam cermin, ia membentuk jaringan urat-urat darah berwarna biru/hijau.
Lebih hampir puan ke tarikh bersalin lagi bertambah teruk. Ini tidak memudaratkan kandungan puan, Cuma kami doktor akan mengelak melakukan epiosotomi jika boleh bagi mengelak perdarahan yang banyak jika terkena urat-urat darah ini.
Semua masalah itu selalunya akan hilang selepas bersalin kelak.
KLIK GAMBAR DI BAWAH UNTUK MELIHAT PENAWAR PENYAKIT BUASIR
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.